Advertisement
Badaruddin adalah seorang pelajar di SMA Swasta di Kota Bandung. Badaruddin menceritakan sebuah kisah yang tidak boleh dilupakan dan juga menjadi pengajaran kepadanya untuk meyakini bahawa ada makhluk selain manusia di dunia ini.
Kejadian ini bermula ketika Badaruddin dan rakan-rakan kumpulan band mereka pergi ke sebuah studio muzik di Riung Bandung untuk latihan rutin. Badaruddin dan rakannya pergi dengan menaiki motor berboncengan. Seperti biasa mereka akan melalui sebuah terowong di jambatan Guruminda. Waktu itu Badaruddin tidak merasa apa-apa ketika melaluinya, mungkin kerana masih pukul 8 malam dan masih banyak kenderaan yang lalulalang di terowong itu.
Dipendekkan cerita selesai latihan band di studio tersebut, jam telah menunjukkan pukul 12 malam. Badaruddin dan rakannya pulang dengan santai dan tidak terfikirkan sedikitpun akan perkara yang aneh. Ketika Badaruddin memandu motornya dengan agak laju sedikit, sekitar 200 meter mendekati terowong guruminda kedinginan malam tiba-tiba berubah menjadi agak panas. Entah mengapa buluromanya meremang, namun Badaruddin terus memacu motornya memasuki terowong itu.
GAMBAR HIASAN |
Semakin memasuki terowong semakin panas udaranya, kepala Badaruddin seperti ada yang memaksanya untuk menoleh ke arah kiri, dan Badaruddin terkejut melihat satu makluk tanpa kepala yang berdiri tegak di pinggir terowong itu. Akibat terkejut, Badaruddin terpulas minyak motor agak kuat hinggakan hilang kawalan dan akhirnya terjatuh.
Sakit yang dirasakan oleh Badaruddin tidak dihiraukannya sambil matanya terus memandang ke arah sosok tubuh yang terpacak berdiri tadi dan ternyata masih ada disitu. Sosok tubuh tanpa kepala itu menghampiri mereka dengan lemah longlai. Badaruddin tidak boleh bergerak, rakannya menarik bahu Badaruddin dan disandarkan di dinding terowong, sambil bertanyakan keadaan Badaruddin kerana rakannya itu tidak tercedera, Badaruddin hanya menganggukkan kepala. Badaruddin memalingkan mukanya kembali ke arah sosok itu berdiri, dan ternyata dia sudah menghilang.
Rakannya menawarkan diri untuk memandu motor Badaruddin untuk pulang. Ketika melepasi terowong itu, Badaruddin bertanya kepada rakannya "ehh kau ada lihat orang tanpa kepala yang berdiri di situ waktu sebelum kita jatuh tak?” “Tak ada pun... khayalan kamu sahaja tu, mungkin kamu tu terlalu penat..!!!” jawabnya sambil tersenyum sambil terus memandu motor. Jadi yang melihat sosok itu hanya Badaruddin sahaja....
Di sepanjang perjalanan pulang Badaruddin masih memikirkan sosok tubuh tanpa kepala tadi. Sampai sahaja di rumah Badaruddin berwudhu dan mendirikan sholat, untuk menenangkan fikirannya.
Selesai sholat Badaruddin akhirnya tertidur. Tiba tiba Badaruddin melihat sosok manusia tanpa kepala yang berlumuran darah dari lehernya sedang berdiri di penjuru bilik, dia menulis dengan darahnya di dinding “tolong carikan kepala saya” ahhhh.... Badaruddin terjaga dari tidur dan ternyata itu hanya sebuah mimpi.
Tubuh Badaruddin di penuhi peluh dingin kerana masih takut dengan mimpi tadi, Badaruddin tidak dapat melelapkan mata kerana takut bermimpi seperti itu lagi.
Waktu Subuhpun tiba, selepas solat, Badaruddin membaca Al-Qur'an untuk menenangkan jiwanya. Betapa gementar perasaannya memikirkan mimpinya dan apa yang dilihatnya malam tadi. Badaruddin teringatkan berita di akhbat yang dibacanya tentang kemalangan yang merangut nyawa dan pemandu yang terputus kepalanya akibat tercucuk besi pembahagi jalan, di jalan tersebut.
“Jadi hantu yang kemarin aku lihat apakah arwah dari orang ini???"
Setelah selama seminggu Badaruddin selalu didatangi makhluk itu didalam mimpinya dan kerana tidak tertahan lagi dengan mimpi seram tersebut, Badaruddin menceritakan kepada ayahnya yang juga seorang guru agama. Ayahnya telah menjelaskan bahawa orang Islam tidak perlu takut kepada hantu kerana ia adalah jelmaan iblis, syaitan atau jin dan semuanya itu adalah makhluk ALLAH.
“Ayah bimbang bila orang terlalu takutkan hantu sehingga mengatasi kekuasaan ALLAH. Kamu tidak perlu gusar atau takut, mungkin apa yang berlaku adalah ketentuan ALLAH, tetapi kita perlu ikhtiar dengan bergantung kepada ALLAH TAALA. Kejadian diganggu hantu sepatutnya menjadikan kamu lebih dekat pada ALLAH dan lebih banyak muhasabah diri,” katanya ayahnya kepada Badaruddin
Kemungkinan kejadian sihir atau gangguan iblis, syaitan atau jin tetapi dalam bentuk jelmaan, untuk menakutkan orang apabila melihatnya. Bagaimanapun, kata Ayahnya lagi, jelmaan yang wujud dalam pelbagai bentuk itu tidak perlu ditakuti. Jelas Ayah Badaruddin dan terus berkata
“Apa yang penting, kita perlu kuatkan iman. Kalau kita takut, iman kita mungkin masih lemah. Kita perlu ada kekuatan dalaman bagi mengatasi perkara yang boleh melemahkan iman kita,” nasihat Ayahnya bagi menguatkan semangatnya.
Menurut Ayahnya lagi, bagi mengatasi masalah gangguan makhluk halus, Badaruddin bolehlah membaca ayat Kursi dan ayat-ayat al-Quran yang lain. Secara fitrah katanya lagi, amalan ayat 3 Qul dibaca sebelum tidur untuk menghalang gangguan, iaitu dengan menghembus atau meniup bacaan itu pada seluruh tubuh.
Barulah Badaruddin sedar bahawa kebelakangan ini dia banyak leka dan sering lupa untuk solat. Setelah memperbetulkan dirinya dengan memperbanyakkan amalan, kini Badaruddin tidak lagi didatangi mimpi ngeri itu lagi...
0 Response to "KISAH HANTU TANPA KEPALA DIDALAM TEROWONG"
Post a Comment