KISAH ABU GHIYATS - NIKMAT DARI SEBUAH KEJUJURAN

Advertisement
Kisah ini  adalah satu kisah pada zaman salafussolah dahulu. Tetapi dapat kita ambil iktibar dengan mengkiaskannya kepada susana kita pada zaman global kini. Kerana kejujuran itu adalah satu sifat yang tinggi nilainya tidak mengira waktu dan zaman. Ikuti kisah ini:

Di antara tanda-tanda kejujuran adalah takut kepada Allah dan zuhud dalam urusan dunia. Orang yang jujur dalam urusan dunia menjadi takut memakan barang-barang haram. Dia lebih rela memikul kemiskinan dan kesusahan demi mematuhi perintah Allah melalui ajaran Rasulullah S.A.W.  Jika dia merasa berdosa, maka dia tidak akan tidur hingga dia kembali bertaubat kepada ALLAH dan memohon ampun untuk berlepas diri dari dosanya. 


Ibnu Jarir ath-Thabari berkata, 

“Pada musim haji aku berada di Mekah. Aku melihat seorang laki-laki dari Khurasan mengumumkan ‘Wahai para jamaah haji, wahai penduduk Mekah, di kota mahupun didesa, aku kehilangan sebuah kantong berisi seribu dinar. Siapa yang mengembalikannya kepadaku, aku mendoakan semoga Allah membalasnya dengan kebaikan dan membebaskannya dari neraka, serta dia mendapat pahala balasan pada hari kiamat.” 


Berdirilah seorang laki-laki tua dari penduduk Mekah. Dia berkata, “Wahai orang Khurasan, negeri kami ini tabiatnya keras, musim haji adalah waktu yang terbatas, hari-harinya terhitung, dan pintu-pintu usaha tertutup. Mungkin hartamu itu ditemukan oleh seorang mukmin yang miskin atau orang lanjut usia dan dia ingin mendapatkan janjimu. Seandainya dia mengembalikannya padamu, apakah kamu bersedia memberinya sedikit harta yang halal?” 

Khurasani menjawab, “Berapa jumlah hadiah yang dia inginkan?” 

Orang tua menjawab, “Seratus dinar.” 

Orang Khurasan itu tidak mahu. Dia berkata, “Tidak, aku akan menyerahkan urusannya kepada Allah dan akan aku adukan dia pada hari dimana kita semua menghadap kepada-Nya. Dialah yang mencukupkan keperluan kita dan sebaik-baik pelindung.” 

Ibnu Jarir berkata, “Hatiku berkata bahawa orang tua itu adalah orang miskin. Dialah yang terjumpa kantong dinar tersebut dan ingin memperoleh sedikit darinya. Aku mengikutnya sampai dia tiba di rumahnya.

Ternyata dugaanku benar, aku mendengarnya memanggil, ‘Wahai Lubabah’. Isterinya menjawab, ‘Ya Abu Ghiyats’. Orang itu berkata lagi, “Baru sahaja aku berjumpa dengan pemiliki kantong yang mengumumkan kehilangan kantong ini, tetapi dia tidak mahu memberikan aku yang menjumpainya sedikit pun. Aku telah mengatakan kepadanya untuk memberi seratus dinar, tapi dia menolak dan menyerahkan urusannya kepada Allah. Apa yang harus aku lakukan wahai Abu Lubabah? Haruskah dikembalikan? Aku takut kepada Allah. Aku takut dosaku bertambah.”

Lubabah, isterinya menjawab, “Suamiku, kita telah menderita kemiskinan selama 50 tahun. Kamu mempunyai empat anak perempuan, dua saudara
perempuan, aku isterimu dan juga ibuku, lalu kamu yang kesembilan. Kita tidak mempunyai kambing, tidak ada padang gembala. Ambil semua wangnya. Kenyangkan kami, kerana kami semua lapar. Beli pakaian untuk kami. Kamu lebih mengerti tentang keadaan kita. Dan semoga Allah membuatmu kaya sesudah itu. Maka kamu akan  mengembalikan wang itu setelah kamu memberi makan keluargamu, atau Allah melunasi hutangmu ini di hari kiamat nanti.” 

Pak tua itu berkata pada isterinya, “Apakah aku harus makan barang haram setelah aku menjalani hidup selama 86 tahun? Aku membakar perutku dengan neraka setelah sekian lama aku bersabar atas kemiskinanku dan mengundang kemurkaan Allah, padahal aku sudah di ambang pintu kubur. Demi Allah aku tidak akan melakukannya.” 

Ibnu Jarir berkata, “Aku pergi dari situ dengan rasa kehairanan terhadap sikap bapak tua itu dan isterinya. Keesokkan harinya pada waktu yang sama dengan kelmarin, aku mendengar pemiliki dinar mengumumkan, “Wahai penduduk Mekah, wahai para jamaah haji, wahai tamu-tamu Allah dari desa mahupun dari kota, siapa yang menemukan sebuah kantong berisi seribu dinar, maka hendaknya dia mengembalikannya kepadaku dan baginya balasan pahala dari Allah.” 

Bapak tua itu berdiri dan berkata, “Hai orang Khurasan, kelmarin aku telah mengatakan kepadamu, aku telah memberimu saranan. Di kota kami ini, demi Allah, tumbuh-tumbuhan dan ternaknya sedikit. Bermurah hatilah sedikit kepada penemu kantong itu sehingga dia tidak melanggar syariat. Aku telah mengatakan kepadamu untuk memberi orang yang menemukan kantong tersebut seratus dinar, tetapi kau menolaknya. Jika wang tersebut ditemukan oleh seseorang yang takut kepada Allah, apakah sudi kau memberinya sepuluh dinar saja, bukan seratus dinar? Agar dapat menjadi penutup dan pelindung baginya dalam keperluannya sehari-hari.” 

Orang Khurasan itu menjawab, “Tidak. Aku berharap pahala hartaku di sisi Allah dan mengadukannya pada saat kita bertemu dengan-Nya. Dialah yang mencukupi rezeki kehidupan dan Dialah sebaik-baik penolong.” 

Orang tua itu menariknya sambil berkata, "Kemari dan ikut aku untuk mengambil dinarmu supaya aku dapat tidur lena di malam hari. Aku tidak pernah merasa tenang sejak terjumpa hartamu itu.” 

Ibnu Jarir berkata, “Orang tua itu pergi bersama pemilik dinar. Aku mengekori keduanya hingga orang tua itu masuk rumahnya. Dia menggali lantai tanah rumahnya dan mengeluarkan dinar itu. Dia berkata, ‘Ambil kembali wangmu. Aku memohon kepada Allah agar memaafkanku dan memberiku rezeki dari kurnia-Nya’.” 

Orang Khurasan itu mengambil dinarnya, dan ketika dia hendak keluar, dia kembali bertanya, “Pak tua, bapaku telah meninggal dunia, semuga Allah merahmatinya dan bapaku ada meninggalkan untukku tiga ribu dinar. Dia mewasiatkan kepadaku, ‘Ambil sepertiga darinya dan berikan selebihnya kepada orang yang paling berhak menerimanya menurutmu’. Maka aku menyimpannya di kantong ini sampai aku memberikannya kepada yang berhak. Demi Allah, sejak aku berangkat dari Khurasan sampai di sini aku tidak melihat seseorang yang lebih berhak untuk menerimanya kecuali dirimu. Ambillah! Semoga Allah memberkahimu. Semoga Allah membalas kebaikan untukmu atas amanahmu dan membalas kesabaranmu atas kemiskinanmu.” Lalu dia pergi dan meninggalkan orang tua itu sendirian.

Bapak tua (Abu Ghiyats) itu menangis. Dia berdoa kepada Allah, “Semoga Allah memberi rahmat kepada pemiliki harta ini di kuburnya. Dan semoga Allah memberi keberkatan kepada anaknya.” 

Ibnu Jarir berkata, “Maka aku pun meninggalkan tempat itu dengan berjalan di belakang orang Khurasan itu, tetapi Abu Ghiyats (Orang tua itu) menyusulku dan mengajak aku kembali kerumahnya". Dia berkata kepadaku, "Duduklah, aku melihatmu mengikutiku sejak hari pertama. Kamu mengetahui berita ini kelmarin dan hari ini".   

Kemudian Abu Ghiyats lalu memanggil, “Wahai Lubabah, wahai Fulanah, wahai Fulanah.” Dia memanggil putri-putrinya, dua saudara perempuannya, isterinya dan mertuanya. Dia duduk dan memintaku untuk duduk bersama. Jumlah kami sepuluh orang. Dia membuka kantong dan menghulurkan kepadaku seratus dinar, dan keluarganya karena tidak memiliki pakaian, maka menghulurkan tangan mereka sahaja dari sebalik tabir. Pak tua itu mengagihkan dinar demi dinar, sehingga isi kantongnya yang seribu dinar itu pun habis dan aku diberinya seratus dinar. 

Ibnu Jarir berkata, “Kebahagian mereka atas kurnia Allah lebih membahagiakan diriku daripada mendapatkan 100 dinar ini. Ketika aku hendak pergi, dia berkata kepadaku, “Anak muda, kamu penuh berkah. Aku tidak pernah melihat wang ini dan juga tidak pernah mengimpikannya. Aku berpesan kepadamu bahawa harta itu halal, maka jagalah dengan baik. Ketahuilah, sebelum ini aku solat subuh dengan baju usang ini. Kemudian aku membukanya sehingga anakku satu per satu dapat  memakainya untuk solat. Lalu aku pergi bekerja antara zuhur dan asar. Pada petang hari aku pulang dengan membawa rezeki yang diberikan Allah, kurma dan beberapa potong roti.

Kemudian aku melepas pakaian usang ini untuk digunakan solat zuhur dan asar oleh puteri-puteriku. Begitulah solat maghrib dan isya'. Kami tidak pernah membayangkan dapat melihat dinar sebanyak ini. Semuga harta ini bermanfaat, dan semuga apa yang aku dan kamu ambil juga bermanfaat. Semuga Allah merahmati pemiliknya di kuburnya, melipatgandakan pahala bagi anaknya.” 

Ibnu Jarir berkata, “Aku aku melambaikan tangan kepadanya ketika hendak pulang. Aku telah menyimpan seratus dinar itu sehingga aku menggunakannya untuk pembiyaan menuntut ilmu selama dua tahun, disamping memenuhi keperluanku seharian.

Enam belas tahun kemudian aku kembali ke Mekah. Aku mencari bapak tua itu dan ternyata dia telah wafat beberapa bulan setelah peristiwa itu. Begitu pula isterinya, mertuanya, dan dua saudara perempuanya, semuanya telah wafat kecuali puteri-puterinya. Aku bertanya tentang keadaan mereka. Ternyata mereka telah berkahwin dengan para gabenor dan pembesar negeri. Hal itu berlaku kerana berita kebaikan orang tuanya yang tersebar di seantero negeri. Aku singgah di rumah suami-suami mereka dan mereka menyambutku dengan baik, meraikan kehadiranku.  Semuga Allah memberkati mereka dengan apa yang mereka dapat hasil dari kesabaran dan ketabahan mereka bersabar hidup dalam ujian kesusahan dan kemiskinan.” 

Firman Allah Ta’ala, “Demikianlah diberi pengajaran kepada orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat. Barangsiapa bertaqwa kepada Allah, nescaya DIA akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka. Dan barangsiapa bertawakkal kepada Allah, niscaya Allah akan mencukupkan keperluannya.” 

Lihatlah bagaimana rezeki yang didapati Abu Ghiyats, rezeki yang Allah tetapkan tidak berkurang dari apa yang dia minta pada permulaannya.  Tetapi kerana kejujuran dan tidak mahu memakan rezeki yang haram, maka dia mendapat secukupnya untuk keperluan dia dan keluarganya. Akhirnya puteri-puterinya menjadi senang hasil dari balasan kurnia Allah terhadap kejujuran dan kesabaran mereka dan mereka berolah kenikmatan 

Sumber: Kisah Generasi Sala

0 Response to "KISAH ABU GHIYATS - NIKMAT DARI SEBUAH KEJUJURAN"

Post a Comment