Advertisement
Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda (yang maksudnya):
“Barangsiapa yang menempuh suatu jalan untuk mencari ilmu pengetahuan, maka Allah akan mempermudahkan baginya jalan menuju ke syurga.”(Muslim, Abu Daud, Turmizi dll)
Maksud hadith ini, sesiapa saja yang sanggup melapangkan sedikit masanya untuk menambah pengetahuan lebih-lebih lagi ilmu yang berkaitan dengan agama, peluangnya untuk masuk ke dalam syurga adalah cerah kerana jalan ke sana telah dimudahkan oleh Allah SWT. Janji Allah mustahil tidak benar.
Rasulullah s.a.w juga pernah bersabda (yang maksudnya):
“Selamat datang wahai orang yang menuntut ilmu, sesungguhnya para penuntut ilmu itu akan dinaungi oleh sayap-sayap para malaikat yang saling bertindihan satu sama lainnya sampailah ke langit dunia, ini kerana kecintaan mereka kepada orang yang menuntut ilmu.”(Ibnu Majah, Ahmad, Thabrani & Ibnu Hibban)
Para malaikat sangat suka dengan orang-orang yang menuntut ilmu. Apabila terjumpa saja mana-mana majlis ilmu, para malaikat akan menebarkan sayap-sayap mereka menyelubungi majlis tersebut. Sebab itulah orang-orang yang berada dalam majlis-majlis ilmu akan terasa damai di hati dan dekat dengan Tuhan kerana mereka sebenarnya sedang berada di bawah naungan sayap-sayap para malaikat. Seterusnya para malaikat tadi akan berbaris pula bertingkat-tingkat sampailah ke langit. Sebab itulah ada ulama mengatakan bahawa cahaya majlis-majlis ilmu ini seolah-olah terpancar terus ke langit.
Dalam hadith yang lain, baginda s.a.w bersabda:
“Tujuh golongan manusia dilindungi Allah pada hari yang tidak ada perlindungan selain daripada perlindungan-Nya. Mereka ialah:
1. pemerintah yang adil
2. pemuda yang hidup dalam ketaatan kepada Allah
3. lelaki yang sentiasa ingat kepada masjid untuk beribadah kepada Allah
4. dua orang lelaki yang berkasih sayang kerana Allah, mereka berkumpul dan berpisah kerana cinta kepada Allah
5. lelaki yang menolak godaan seorang perempuan cantik dan berkedudukan tinggi dengan berkata: Aku takut kepada Allah
6. lelaki yang bersedekah dengan ikhlas dan tidak menghebahkan sedekahnya itu, hinggakan tangan kirinya tidak tahu apa yang telah disedekahkan oleh tangan kanannya
7. lelaki yang sentiasa menyebut nama Allah (berzikir) secara bersunyi-sunyian lalu mengalirlah air matanya.”(Bukhari, Muslim, Ibnu Majah dll)
Pada hari Qiamat nanti, yang ada hanyalah perlindungan Allah SWT. Kita sangat-sangat berharap agar sekurang-kurangnya kita termasuk salah satu daripada tujuh golongan yang disebutkan dalam hadith di atas. Setidak-tidaknya kita bermohon kepada Allah SWT agar memasukkan kita ke dalam golongan yang keempat, iaitu golongan hamba-hamba yang bertemu dan berpisah kerana Allah.
0 Response to "KELEBIHAN MENUNTUT ILMU "
Post a Comment