Advertisement
JOHOR BAHRU – Mendengar kelunakan bilal melaungkan azan di subuh hari sejak berusia tujuh tahun meskipun tidak mengetahui maksudnya menyebabkan hati jadi lebih tenang.
Saifuddin Yong
“Malah saya mulai tertanya-tanya apakah makna di sebalik kalimah suci itu,” luah Saifuddin Yong Abdullah, 55.
Menurutnya, pergaulan bersama masyarakat Islam di tempat tinggalnya dan rakan di sekolah juga membuatkan dirinya semakin tertarik untuk mengucap dua kalimah syahadah sekali gus membawa kepada pengislamannya sejak 36 tahun lalu.
“Ketika itu saya baru sahaja berusia 19 tahun. Selepas memeluk Islam, saya memberitahu kepada ibu dan ayah saya. Ibu saya menangis manakala ayah saya hanya diam sahaja. Mereka tidak pula memarahi saya, begitu juga kakak dan abang saya.
“Lama-kelamaan mereka mulai menerima dan merestui keputusan saya selepas mendengar ceramah daripada televisyen tentang saudara baru yang memeluk Islam dalam bahasa Mandarin dan hingga kini hubungan kami sekeluarga tetap baik,” katanya kepada media selepas ditemui pada Seminar Al-Quran sebagai Penawar di Pusat Islam Iskandar, di sini, semalam.
Saifuddin berkata, selepas tiga tahun memeluk Islam, beliau mendapat mimpi yang masih diingati hingga kini iaitu melihat batu nisan di dalam air lautan yang jernih dan terdengar suara yang menyebut akan menyeksanya sebanyak tiga kali.
“Kemudian saya terus tersedar. Saya tanya rakan-rakan dan jiran-jiran yang baik dengan saya tentang mimpi itu. Mungkin mimpi itu memberi petunjuk supaya saya lebih taat akan perintah-Nya dan meninggalkan perkara yang dilarang.
“Selain itu, selepas memeluk Islam saya dapat rasakan seperti malaikat bersama dan bantu saya kerana dalam masa sejam sahaja buat kali pertama saya dapat menghafal bacaan dalam solat iaitu surah Al-Fatihah dan bacaan tahiyat awal dan tahiyat akhir. Saya amat yakin dengan perasaan itu,” katanya.
Kemanisan pengislaman Saifuddin Yong tambah bermakna apabila beliau bertemu jodoh dengan isterinya yang berbangsa Melayu selepas lima tahun menjadi Muslim dan kini dikurniakan tiga zuriat berusia 11 hingga 27 tahun berserta tiga orang cucu.
“Syukur walaupun berlainan agama ibu dan ayah saya tetap menerima menantu, cucu dan cicitnya. Hubungan kami juga sangat akrab.
“Berbeza agama tidak menjadi halangan kami untuk hidup bahagia. Saya juga masih kerap datang ke kelas agama bagi mendalami ilmu tentang Islam,” katanya.
0 Response to "KERANA KELUNAKAN AZAN, DIA MEMELUK ISLAM"
Post a Comment