KAYA HARTA TETAPI MISKIN IMAN?

Advertisement
KAYA HARTA TETAPI MISKIN IMAN? | HARTA adalah nikmat yang dikurniakan Allah kepada manusia sebagai ujian. Kaya dan miskin, adalah dua isu yang sering kita kaitkan dengan harta. Harta juga penyebab kepada kegembiraan, kebahagiaan juga tidak kurangnya menjadi penyebab kepada permusuhan, dendam dan pertumpahan darah.

Banyak teladan yang dikaitkan dengan dua isu ini, seperti kisah Si Tanggang yang derhaka selepas menjadi kaya dan kisah Qarun dan sebagainya. Namun harus diingat bahawa kekayaan bukanlah sesuatu yang keji atau perlu dielakkan oleh umat Islam. 

Kekayaan yang dimiliki seseorang itu dapat membantunya melaksanakan kebaikan seperti menunaikan haji, bersedekah, membina masjid dan amalan baik yang lain. Jangan pula menganggap hidup dalam keadaan tidak berharta itu baik lantaran hati akan sering mahukan keselesaan dunia yang tidak diperoleh. 

Sehinggakan kadang-kala mendorong untuk melakukan perbuatan salah. Lihat saja kejadian ra gut dan rom pak yang berlaku sehingga ada yang melibatkan
terkorbannya nyawa. Isteri menjadi balu dan anak yang masih kecil menjadi yatim. Inilah kesan sikap untuk mencari sekelumit kekayaan dunia dengan cara mudah. Sejak zaman berzaman manusia begitu mengejar kekayaan sehingga terlupa bahawa hatilah yang utama perlu diperkayakan. 

Dalam satu hadis Nabi SAW yang diriwayatkan Bukhari: 
 "Yang dikatakan kaya itu bukanlah kerana banyak harta benda, tetapi sebenar-benar kaya ialah kaya jiwa (hati)" . 

Kekayaan hati inilah yang patut dibina terlebih dahulu oleh semua peringkat manusia sama ada yang berharta atau tidak berharta. Kaya jiwa adalah kaya dengan sifat kebaikan, kaya budi pekerti dan kaya harga diri. 

Kekayaan jiwa adalah kekayaan hakiki. Tidak ramai yang mempunyai kekayaan harta memiliki kekayaan jiwa. Kaya jiwa apabila imannya kukuh, hatinya kental dalam apa juga keadaan. 


Malah ramai juga manusia yang miskin harta namun turut miskin hatinya, mereka merasa lemah dan berputus asa dengan kemiskinan mereka. Mereka hidup dalam dukacita. 

Bila seseorang itu kaya hati, miskin atau kaya keadaannya akan menjadi sama sahaja. Sama sekali tidak menyusahkan hatinya atau menggugatkan jiwanya. Syukur ketika miskin dengan merasa tenang dengan janji Allah. 

Namun adalah sangat malang jika miskin harta datang bersama dengan miskin jiwa. Miskin jiwa bukan hanya tidak pernah bersyukur dengan harta yang sedikit kita miliki atau keengganan membuat amal kebajikan. Miskin jiwa juga adalah sikap buruk yang menjadi amalan hari demi hari. Kejadian ragut dan mencuri serta jenayah berkaitannya, adalah cerminan manusia yang jiwanya miskin dan kosong. Sudahlah miskin harta, miskin pula hatinya dari keimanan sehinggakan mendorongnya melakukan jenayah, hatinya juga miskin kerana sanggup membunuh demi secebis harta yang sedikit itu. 

Miskin jiwa ini sangat berbahaya kerana boleh menghinggapi segenap lapisan masyarakat tidak kira kaya atau miskin, berpangkat atau berdarjat. Ini kerana jiwa yang miskin boleh mendorong kita melakukan penindasan, permusuhan dan jenayah kerana hati tidak pernah bersyukur dengan apa yang dimiliki apatah lagi untuk berasa cinta dan belas kepada sesama manusia.

Harta yang telah dihimpun bertimbun masih tidak dapat memuaskan hati yang miskin sehinggakan mendorong untuk melakukan penipuan dalam perniagaan, rasuah, salah guna kuasa dan berbagai lagi jenayah kolar putih. 

Pendidikan adalah aspek yang penting dalam usaha memurnikan jiwa insani. Pemurnian jiwa dalam masyarakat bukan hanya melalui ceramah atau kuliah sebaliknya melalui pergaulan, pemerintahan, bantuan serta mengambil berat sesama kita. Anak-anak pula perlu didedahkan bukan sekadar dengan didikan akademik malah perlu kepada didikan agama dan moral. Hal ini supaya jiwa mereka tidak kosong seterusnya menjadikan mereka insan yang berguna dan kaya jiwanya pada masa hadapan. 

Kayakanlah jiwa kita dengan rasa takwa, syukur, ikhlas, punya rasa belas kasihan serta menghormati orang lain. Jangan ditunggu orang lain mengubah sikap masing-masing terlebih dulu ataupun menunggu orang lain untuk mengubah sikap kita. Sesungguhnya rugilah bagi mereka yang hanya mengejar harta dunia tetapi miskin jiwanya kerana tiada tempat baginya di samping orang yang dikasihi Allah.

sumber

-

0 Response to "KAYA HARTA TETAPI MISKIN IMAN?"

Post a Comment