KISAH WANITA TUA MEMELUK ISLAM

Advertisement
KISAH WANITA TUA MEMELUK ISLAM | Satu masa dahulu ada seorang guru agama tinggal bersama anak lelakinya berusia 11 tahun. Guru agama tersebut mengajar tentang agama Islam dan menulis buku untuk penduduk di kawasan tempat tinggalnya untuk memudahkan mereka mengenal Islam dengan lebih mendalam. 

Akhirnya buku yang mengisahkan tentang keindahan hidup Islam berjaya disiapkan oleh guru tersebut.  Setelah buku itu siap dan cukup bilangan untuk diedarkan kepada penduduk-penduduk dikawasan tempat tinggalnya, guru agama tersebut mahu mengedarkan buku tersebut.  Ketika dia ingin keluar rumah hendak mengedarkan kepada orang kampungnya pada satu pagi, tiba-tiba hujan turun dengan sangat lebat.

Beliau menangguhkan hasratnya untuk mengedarkan buku-buku tersebut. Tetapi anak beliau berkeras mahu mengedarkannya juga. Setelah didesak akhirnya beliau mengizinkan anaknya untuk keluar mengedarkan buku dalam keadaan hujan lebat bersendirian.

Budak tersebut mengetuk satu demi satu pintu dalam hujan lebat dan memberikan buku tersebut kepada semua penduduk. Menjelang tengahari
tinggal satu buku sahaja. Ketika duduk berehat beliau nampak sebuah rumah yang masih belum diberikan buku lagi. Lalu budak itu bertekad untuk memberikan buku terakhir kepada pemilik rumah tersebut.

Ketika sampai di hadapan rumah tersebut, budak itu mengetuk pintu sekali, Sunyi... tiada jawapan. Budak itu kemudian mengetuk pintu berkali-kali tetapi masih tiada respon dari tuan rumah. Ketika budak itu hendak berlalu pergi, beliau terdengar sesuatu bunyi dari dalam rumah tersebut, lalu beliau mengetuk pintu lagi dengan harapan penghuni rumah tersebut akan keluar.

Tiba-tiba pintu rumah tersebut dibuka. Seorang wanita tua muncul dibalik muka pintu.
“Apa yang kau mahu budak?"

Budak tersebut menyerahkan buku terakhir kepada perempuan tersebut dengan sebuah senyuman.
“Allah menyayangi makcik dan makcik bertuah kerana pada hari ini saya akan beri buku ini kepada puan tentang Islam, bacalah” 

Diringkaskan cerita, beberapa hari selepas kejadian tersebut ketika guru agama, bapa budak itu menyampaikan dakwahnya di tempat biasa dimana orang kampung selalu berkumpul, seorang perempuan tua bangun untuk berkata sesuatu kepada guru agama itu :
“Aku adalah seorang perempuan tua yang duduk dihujung kampung ini. Aku baru sahaja memeluk agama Islam beberapa hari lepas. Suamiku telah mati minggu lepas dan aku tiada sesiapa lagi di dunia ini. Aku rasa hidupku tidak bermakna sebab tiada orang peduli tentang aku. Beberapa hari lepas, aku telah bertekad untuk membunuh diri dengan menggantung diri kerana kecewa dengan hidup ini.
Aku percaya hujan di pagi itu mungkin dapat menghalang orang lain mendengar perbuatan aku untuk membunuh diri. Ketika tali berada di leher aku, tiba-tiba pintu rumahku diketuk. Sepanjang aku menginap di sini tidak pernah ada orang yang datang atau melawat ke rumah aku. Aku berhenti untuk menunggu orang tersebut berlalu pergi.
Tetapi orang tersebut sangat tekad dan mengetuk pintu rumahku berkali-kali. Lalu aku melonggarkan tali gantung dileherku dan mahu melihat siapakah yang datang. Aku lihat seorang budak kecil datang pada hari hujan lebat sambil berkata “Allah menyayangi aku..” sambil memberiku sebuah buku. Aku mengambil buku tersebut dan membacanya.
Tiada siapa pernah memberitahu tentang indahnya ajaran Islam kepadaku, tetapi pada petang hari tersebut aku telah bersyahadah mengikuti apa yang diajarkan dan memeluk Islam. Aku sangat berterima kasih kepada budak tersebut.  Semuga Islamku diterima"

Ketika guru agama tersebut mendengar cerita perempuan tua itu, beliau terus turun daripada pentas ceramahnya dan terus memeluk anaknya yang berada di bahagian hadapan sambil menangis. Kalaulah anaknya itu tidak berkeras mahu mengedarkan buku ketika hujan lebat pada hari itu, nescaya wanita tua tersebut tidak akan tahu tentang agama keindahan Islam. Kemungkinan besar perempuan tua itu telah mati.

Kesimpulannya, kadangkala kita tidak tahu ketika mana dan diantara mana amalan kita yang diterima Allah dan memberi kesan kepada insan lain. Walaupun nampak kecil kadangkala ia memberi impak yang besar dari sudut pahala sebab kita lakukan dengan ikhlas. Berbanding amalan yang kita rasa besar dan hebat pada pandangan ramai orang tetapi ada sifat megah, sombong dan riak ketika melaksanakannya. Mungkin tiada nilai di sisi Allah S.W.T.

Firman Allah ;

سُوۡرَةُ الزّلزَلة
فَمَن يَعۡمَلۡ مِثۡقَالَ ذَرَّةٍ خَيۡرً۬ا يَرَهُ 
وَمَن يَعۡمَلۡ مِثۡقَالَ ذَرَّةٍ۬ شَرًّ۬ا يَرَهُ ۥ 

Surah Al-Zalzalah
Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah,
nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! (7) 
Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, 
nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!  (8)


HIDAYAH ITU MILIK ALLAH 

Wallahua’lam.

0 Response to "KISAH WANITA TUA MEMELUK ISLAM"

Post a Comment